Abdullah Ahmad Badawi, meritokrasi dan ketuanan Melayu Ketuanan_Melayu

Perdana Menteri baru

Setelah Abdullah Ahmad Badawi menggantikan Mahathir selaku Perdana Menteri, Ketuanan Melayu diperkenalkan ke dalam sukatan pelajaran sekolah menengah.

Sebelum Abdullah mengambil alih pada tahun 2003, walaupun ketuanan Melayu pernah dilaung-laungkan oleh sesetengah pemimpin Melayu terkemuka, namun ia masih belum diberi nama khasnya. Pada ketika ini, istilah "ketuanan Melayu" semakin kerap dituturkan hinggakan disertakan dalam kurikulum sekolah menengah lulusan kerajaan.[177] Menurut profesor sosiologi Universiti Kebangsaan Malaysia, Norani Othman, istilah itu membangkitkan "perasaan penghambaan" kerana "perkataan 'ketuanan' membawa maksud tuan ke atas hamba tawanan, yang menurutnya, satu konsep pra-feudal yang tidak sama waktunya dengan 1957, 1963 dan hari ini."[145]

Buku teks sejarah sekolah menengah yang diterbitkan 2004 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka mentakrifkan ketuanan Melayu sebagai:

Semangat cinta akan apa saja yang berkaitan dengan bangsa Melayu seperti hak politik, bahasa, kebudayaan, warisan, adat istiadat dan tanah air. Semenanjung Tanah Melayu dianggap sebagai tanah pusaka orang Melayu.[178]

Pada tahun 2003, Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Azimi Daim berkata: "Di Malaysia, semua orang tahu bahawa Melayu adalah tuan tanah air ini. Kami memerintah negara ini berlandaskan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Barang sesiapa yang menyentuh hal-ehwal Melayu ataupun mengkritik Melayu dianggap menyinggung sensitiviti kami."[179]

Walaupun para pendukungnya berhujah bahawa ketuanan Melayu diterbitkan terus daripada Perkara 153 Perlembagaan, namun Suruhanjaya Reid yang merangka Perlembagaan itu ada menyatakan bahawa peruntukan untuk keistimewaan Melayu bersifat sementara dan lama-kelamaan harus dimansuhkan, dengan satu-satunya sebab kewujudannya adalah tradisi dan keperluan ekonomi sebagai sebentuk tindakan afirmatif untuk orang Melayu. Sungguhpun demikian, sesiapa yang mencabar ketuanan Melayu atau "hak Melayu" tetap dibidas terutama sekali oleh ahli UMNO.[180] Ramai ahli UMNO masih memanggil bukan Melayu dengan gelaran "orang pendatang" atau "pendatang asing".

Meritokrasi

Sebelum meletak jawatan, Mahathir mengutuk orang Melayu kerana bergantung pada keistimewaan mereka. Ini ditegaskan lagi oleh Abdullah yang memberikan amaran kepada kaum Melayu supaya belajar hidup tanpa tongkat atau akhirnya naik kerusi roda.[181] Pentadbiran Abdullah memulakan amalan meritokrasi yang pernah seketika diusulkan oleh Mahathir, maka terhapusnya kuota kemasukan universiti. Bagaimanapun, sesetengah pihak mendakwa bahawa ini tidak menghapuskan diskriminasi dalam pendidikan. Aliran pra-universiti terbahagi kepada dua; iaitu satu kursus yang disiapkan untuk pelajar untuk peperiksaan terselaras Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) selama dua tahun, dan satu lagi yang berbentuk pelbagai kursus matrikulasi yang dinilai oleh pensyarah seorang demi seorang selama lebih kurang setahun.

Para pengkritik membidas amalan meritokrasi ini sebagai kepura-puraan atas hujah bahawa adalah tidak adil untuk menyamatarafkan kedua-dua aliran itu untuk tujuan kemasukan ke institusi. Sungguhpun kononnya terbuka kepada bukan Bumiputra, namun para pengkritik itu mendakwa bahawa rata-rata penuntut matrikulasi berketurunan Melayu.[182][183]

Dahulu sekali, keselarasan kursus matrikulasi untuk Melayu atau Bumiputera sahaja dengan perlembagaan sering dipertikai kerana pindaan terhadap Perkara 153 melarang penolakan kemasukan pelajar atas sebab perkauman semata-mata.[158] Natijahnya, kursus matrikulasi terbuka kepada bukan Bumiputera. Bagaimanapun, sesetengah ahli UMNO menganggap meritokrasi itu terlalu keras terhadap pelajar Melayu luar bandar kerana merugikan mereka berbanding dengan pelajar bandar, di samping menggesa supaya kuota dipulihkan untuk mengelakkan "padang persaingan tak rata".[184]

Di Perhimpunan Agung UMNO 2004, Timbalan Pengerusi Tetap Datuk Paduka Badruddin Amiruldin mengungkit semula Peristiwa 13 Mei dengan amaran bahawa pada tahun 1946, semua kaum pernah mencapai kata sepakat yang mana orang Melayu membenarkan kaum-kaum lain untuk 'menumpang' di Tanah Melayu. Tambahnya, kaum lain tidak boleh sesekali mempertikai hak Melayu di tanah ini, lebih-lebih lagi soal agama kerana demikianlah hak Melayu di tanah ini. Menteri Pelajaran Tinggi ketika itu, Shafie Salleh juga berikrar di perhimpunan tersebut bahawa bukan Bumiputera tidak akan sesekali dibenarkan memasuki Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang terbuka kepada Bumiputera sahaja: "Saya tidak akan berkompromi tentang hal itu."[179][185]

Kemudian di Perhimpunan Agung 2005, Menteri Pelajaran dan Ketua Pemuda UMNO Hishammuddin Hussein — anak kepada Tun Hussein Onn — menjulang keris sambil menggesa supaya DEB dikembalikan untuk Dasar Pembangunan Negara (DPN) yang dilancarkan oleh Mahathir.[186] Menurut Hishammuddin, keris berkenaan melambangkan peranan Pemuda UMNO dalam memperjuangkan bangsa Melayu. Sementara itu, timbalannya, Khairy Jamaluddin — menantu Abdullah — membincangkan pembangkitan DEB dalam bentuk berlainan yang bergelar Agenda Nasional Baru (ANB).[187] Kemudian, Hishammuddin menyifatkan keris sebagai "lambang perpaduan" dengan kenyataan bahawa golongan muda zaman sekarang tidak lagi memandang keris sebagai lambang untuk mendukung ketuanan Melayu."[188]

"Politik perkauman"

Para ahli politik Cina dalam pemerintah membangkitkan isu-isu berkenaan Perlembagaan pada lewat tahun 2005. Lim Keng Yaik dari Gerakan meminta supaya kontrak sosial dikaji semula untuk memnentukan sama ada Bangsa Malaysia dapat dicapai.[189] Lim dikutuk hebat oleh ramai ahli politik Melyu terkemuka, termasuk Khairy Jamaluddin dan Ahmad Shabery Cheek. Akhbar bahasa Melayu yang rata-rata milik UMNO turut menyiarkan artikel-artikel yang mengecam pertikaian terhadap kontrak sosial.[190] Lim membalas, "Bagaimana hendak mengharapkan bukan Melayu untuk mencurahkan jiwa dan raga mereka kepada negara dan berkorban demi negara suatu hari nanti jika kalian tidak habis-habis menyentuh isu itu? Mengibarkan bendera dan menyanyikan lagu 'Negaraku' sekadar upacara, sedangkan cinta sejati kepada negara terletak dalam hati."[189]

Pada tahun sebelumnya, Abdullah menyebut bahawa "aspek paling penting" dalam kontrak sosial merupakan "akurnya kaum peribumi untuk memberikan kewarganegaraan kepada golongan pendatang Cina dan India". Biarpun Abdullah turut berkata bahawa corak berbangsa telah bertukar kepada "negara yang juga boleh diakui milik warganegara berketurunan Cina dan India,"[191] namun ucapan ini kurang diberi perhatian. Akhir sekali, Lim menyatakan bahawa akhbar Melayu telah mengherot-benyotkan dan menyalah petik kata-katanya. Isu ini berakhir apabila Hishammuddin berpesan kepada rakyat supaya "kontrak sosial itu jangan diungkit lagi kerana ia telah pun dipersetujui, dihayati dan difahami serta termaktub dalam perlembagaan negara."[192]

Pada Januari 2006, kerajaan mengumumkan kempen kesedaran Rukunegara. Agensi berita kerajaan, BERNAMA pernah memetik kata-kata Tunku pada 1986 bahawa "Bangsa Melayu bukan sahaja pribumi malahan tuan kepada negara ini dan tiada siapa pun berhak mempertikaikan hakikatnya". Perkara-perkara dalam Perlembagaan yang menyentuh agama rasmi iaitu Islam, institusi beraja, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak-hak istimewa Melayu diperikan sebagai "pengiktirafan terhadap kedudukan bangsa Melayu sebagai pribumi." Kemudian, adalah dinyatakan bahawa penekanan baru terhadap Rukunegara adalah bertujuan menghindarkan sebarang pertikaian terhadap kontrak sosial yang "menentukan pola politik dan kedudukan sosio-ekonomi rakyat di negara ini".[193]

Kemudian, sebuah tinjauan ke atas rakyat Malaysia mendapati 55% penjawab bersetuju bahawa ahli politik harus "dipersalahkan kerana memecah-belahkan rakyat dengan bermain politik perkauman". Mukhriz Mahathir — anak kepada Mahathir dan juga seorang pemimpin Pemuda UMNO — membela tindakan UMNO disebabkan jurang ekonomi dengan bertegas bahawa "Selagi itu masih ada, selagi adalah mereka yang memperjuangkan setiap kaum demi kesamarataan." Shahrir Abdul Samad selaku pengerusi Kelab Ahli Penyokong BN berhujah bahawa ahli politik sekalian sekadar menyahut "sebuah negara yang berpecah kepada berbilang kaum," asking, "jika isu Melayu dibincangkan kepada kaum Melayu, adakah itu bermain politik perkauman?" M. Kayveas, Presiden PPP, tidak setuju: "12 bulan sekali, parti-parti berpaling balik kepada satu kaum untuk memperjuangkan perjuangan masing-masing, tetapi pada kesudahannya, apabila menjelang pilihan raya umum, kita melaungkan 'Bangsa Malaysia' pula."[194]

Dengan mencerminkan suasana kesangsian dan dasar-dasar rasialis di Singapura dan Malaysia (di Singapura, dasar-dasarnya dituduh memberati kaum Cina),[195] Lee Kuan Yew mencetuskan satu lagi perbalahan pada September mengenai peranan ketuanan Melayu dalam politik Malaysia dengan ujaran bahawa kaum Cina telah "dipinggirkan secara sistematik" di Malaysia dan Indonesia sekali. Perbalahan antara negara yang tercetus, disusuli pula dengan penafian oleh ahli kerajaan Malaysia, menyebabkan Lee mengeluarkan kenyataan minta maaf atas kata-katanya yang juga cuba membela kata-kata berkenaan. Abdullah berkata bahawa beliau tidak berpuas hati dengan apa yang disifatkannya sebagai "minta maaf bersyarat", namun walau apa pun kerajaan Malaysia tetap menerimanya.[196][197][198]

Pada bulan berikutnya, timbulnya kontroversi setelah Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) mengeluarkan laporan bahawa ekuiti pegangan Bumiputera berada pada paras 45% — jauh berbeza dengan perangkaan rasmi pada 18.9% yang digunakan oleh para ahli politik untuk mempertahankan pemeliharaan atau pengembalian DEB. Seorang penganalisa tempatan berpendapat "Jika ekuiti Bumiputera berada pada 45 peratus, sudah tentu soalan yang menyusul adalah mengapa perlunya hak-hak Bumiputera? Ia mendatangkan implikasi untuk dasar kerajaan dan menarik semula hak pribumi adalah salah satu perkara yang tidak akan diterima oleh UMNO buat masa sekarang." Perkaedahan laporan itu dibidas kerana menggunakan nilai pasaran daripada nilai tara untuk menghitung ekuiti di samping mengehadkan skopnya kepada seribu buah syarikat tersenarai awam. Ia juga mencakupi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai syarikat milik Bumiputera.[199] Bagaimanapun, pihak kerajaan turut dibidas kerana nilai tara itu dikatakan tidak mencerminkan nilai perusahaan-perusahaan yang dikaji selidik dengan betul, lebih-lebih lagi yang seharusnya diambil kira adalah pegangan ekuiti GLC milik Bumiputera sahaja.[200] Laporan itu kemudiannya ditarik balik, tetapi kontroversi berterusan apabila sebuah badan media bebas memetik satu kajian mengikut perkaedahan kerajaan yang menandakan bahawa ekuiti Bumiputera telah melepasi paras 30% pada tahun 1997.[201]

Di persidangan UMNO Johor pada bulan yang sama, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman membidas dasar-dasar Bangsa Malaysia dan "meritokrasi". Ghani menyifatkan Bangsa Malaysia sebagai ancaman kepada bangsa Melayu dan kedudukan Perlembagaan mereka dengan pendapat bahawa ia juga mampu "menggugat kestabilan negara". Ghani mendesak supaya dasar itu "dianjurkan dalam konteks ... orang Melayu sebagai kaum utama", serta menyifatkan meritokrasi sebagai suatu "bentuk diskriminasi dan penindasan" kerana pelajar Melayu luar bandar tidak dapat bersaing dengan pelajar bandar.[202] Dalam kontroversi yang menyusul ekoran kata-katanya, Ghani dibidas oleh sesetengah menteri persekutuan, antaranya berkata Bangsa Malaysia tiada kena-mengena dengan satu kaum diberi peranan lebih penting daripada yang lain, dan seorang lagi berhujah bahawa gagasan itu "tidak mencabuli hak Bumiputera mahupun kaum-kaum lain."[203] Ghani membela ujaran beliau dengan menuduh penyokong Bangsa Malaysia itu turut menyokong gagasan "Malaysian Malaysia" yang pernah diusulkan oleh Lee Kuan Yew sungguhpun "ditolak oleh kerajaan dari mula lagi." Najib selaku Timbalan Perdana Menteri bercadang bahawa sebarang usaha untuk mentakrifkan Bangsa Malaysia dalam konteks politik tidak akan berhasil, dan oleh yang demikian tiada perlunya membahaskannya; beliau juga bertegas bahawa persoalan itu "tidak mempertikai hak istimewa Melayu, kuota kita atau seumpamanya."[204][205] Perhimpunan Agung UMNO pada tahun itu adalah kali pertama ianya disiarkan di televisyen selengkap-lengkapnya; ia menjadi titik kontroversi apabila para wakil seperti Hashim Suboh membuat ucapan yang berat dengan retorik perkauman; Hishammuddin yang menghunus keris lagi ditanya oleh Hashim bila beliau hendak menggunakan senjata itu. Selepas Perhimpunan, Hishammuddin menegaskan bahaw keris bukanlah lambang ketuanan Melayu.[206]

Pada Oktober 2007, Lee Kuan Yew mencetuskan pertikaian lagi setelah mengujar bahawa "Jika Malaysia dapat mendidik, memanfaatkan dan melayan kaum Cina dan India sebagai warganegara sendiri, maka mereka boleh menyamai kami (Singapura) dan juga mencapai lebih tinggi daripada kami hinggakan kami sudi menganggotai semula Malaysia." Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib menjawab dengan memberitahu pihak akhbar bahawa Malaysia melaksanakan dasar-dasar untuk membantu kaum Melayu yang terpinggir dari segi ekonomi daripada mengabaikan mereka seperti Singapura, lebih-lebih lagi pada suatu ketikad dahulu, kaum Melayu terpaksa bersaing di atas padang main yang rata dengan rakyat Malaysia yang lain.[207]

Titik perubahan politik

Pada pilihan raya umum 2008, BN dikembalikan ke tampuk pemerintahan buat julung kali tanpa supermajoriti dua pertiga yang sentiasa dipegangnya di Dewan Rakyat, maka BN tidak dapat lagi meluluskan pindaan perlembagaan tanpa sokongan parti pembangkang. Keputusan pilihan raya itu dipandang umum sebagai mencerminkan ketidakpuasan hati rakyat tentang keadaan ekonomi negara serta ketegangan kaum yang semakin menjadi-jadi; ketiga-tiga parti pembangkang utama telah berkempen bersama-sama mengutuk DEB serta tindak balas kerajaan terhadap jurang ekonomi yang makin meluas. Pada bulan berikutnya, Tengku Mahkota Kelantan Tengku Faris Petra berucap di sebuah perhimpunan yang dianjurkan Barisan Bertindak Perpaduan Melayu yang baru ditubuhkan, bahawa semenjak orang Melayu akur kepada memberikan kewarganegaraan kepada bukan Melayu, maka bukan Melayu tidak wajar meminta kesaksamaan atau layanan istimewa.[208] Beliau dalam ucapan ini turut menyeru agar Melayu bersatu agar kedaulatan dan keunggulan Melayu terpelihara.[209]

Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Timbalan Presiden UMNO dan bekas Timbalan Perdana Menteri, selaku ketua umum Parti Keadilan Rakyat dan juga ketua umum parti campuran Pakatan Rakyat, mengambil pendirian untuk menolak ketuanan Melayu dan menggantikannya dengan "ketuanan rakyat". Dalam menyambut tamatnya larangan lima tahun dari politik pada 15 April 2008, beliau memberitahu wartawan: "Kami berada di sini untuk menentang kempen propaganda besar-besaran oleh pemimpin UMNO yang melaung-laungkan ketuanan Melayu. Sebagai jawapan yang jelas dan nyata kepada itu, kami menuntut sebuah Malaysia yang baru, ketuanan buat semua rakyat Malaysia."[210] Seminggu kemudian, isterinya Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail selaku Presiden PKR memberitahu akhbar bahawa "kita tidak seharusnya terus bercakap tentang ketuanan Melayu atau meminggirkan kaum tertentu, kerana rakyat tidak mahu melihat itu," sebaliknya menuntut penerimaan ketuanan rakyat.[211]

Tidak lama kemudian, Hishammuddin sendiri meminta maaf "seandainya bukan Melayu tersinggung" kerana menghunus keris di tiga Perhimpunan Agung UMNO yang sebelumnya. Beliau enggan mengulas sama ada beliau akan mengulangi tindakan itu pada masa akan datang.[212] Minta maafnya yang bersyarat itu dikutuk hebat dari dalam UMNO; sebuah badan media menyifatkan reaksi itu seperti berikut: "Sentimen di kalangan ramai dalam parti UMNO adalah bahawa orang Cina dan India menderhakai BN dengan mengundi Pakatan Rakyat. Wujudnya rasa sakit hati dan kemarahan. Jadi mengapakah Hishammuddin harus terlalu risau akan pendapat bukan Melayu tentang hal keris itu?" Ramai yang berpendapat bahawa minta maaf itu sahaja menggugat ketuanan Melayu.[213] Abdullah menyambut baik minta maaf itu sebagai berani dan "jelas kepada bukan Melayu akan peranan penting keris dalam masyarakat Melayu".[214] Untuk menjawab soalan tentang pudarnya ketuanan Melayu selepas pilihan raya, beliau berkata bahawa ianya sekadar soal kesamaan untuk masyarakat Bumiputera sambil menolak tanggapan dominasi politik:

Dalam soal ketuanan Melayu, maksud kami adalah kami mestilah berjaya dalam pelbagai bidang. Ini langsung tidak mengenai menguasai kaum lain atau memaksa mereka menerima kekuasaan kami... Kami bukanlah kaum yang menguasai kaum-kaum lain. Kami mahu menjadi parti yang mewakili orang Melayu dan sedia bekerjasama demi masa depan Melayu dan rakyat, kerana Melayu akan turut berjaya jika semua rakyat Malaysia cemerlang. ... Demikianlah ketuanan Melayu dan saya harap semua orang akan faham.[215]

Sejurus selepas itu, Menteri Penerangn Datuk Ahmad Shabery Cheek bertegas bahawa ketuanan Melayu tidak membayangkan hubungan antara tuan dengan hamba dalam apa jua pengertian antara Melayu dan bukan Melayu. Sebaliknya, beliau berhujah bahawa ketuanan Melayu memaksudkan institusi raja-raja Melayu yang pernah menjadi "tuan" tetapi menyerahkan ketuanan mereka setelah Perlembagaan Persekutuan dikuatkuasakan sewaktu kemerdekaan. Shabery memetik Perkara 182 Perlembagaan yang mengurniakan kekebalan undang-undang kepada raja-raja sebagai contoh ketuanan Melayu.[216] Bagaimanapun, sesetengah ahli kerabat diraja terkemuka seperti Raja Perlis dan bekas Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Syed Jamalullail sendiri pernah membidas ketuanan Melayu; pada awal 2009, baginda bertitah bahawa "Di Malaysia, setiap kaum adalah tuan... beta percaya bahawa jika semua orang memahami bahawa setiap individu dari kaum mana sekalipun tidak wajar dinafikan hak-hak mereka, barulah usaha pihak-pihak tertentu yang berpendapat bahawa ketuanan atau hak seharusnya hanya diberikan kepada sesebuah kaum sahaja boleh dihentikan."[217]

Pada lewat 2009, Jemaah Menteri memutuskan untuk menukar kurikulum Biro Tatanegara (BTN) yang wajib untuk penjawat awam dan para pelajar yang menggunakan dana awam. BTN pernah dibidas ramai terutamanya ahli Pakatan Rakyat kerana berbentuk propaganda ketuanan Melayu; oleh sebab demikian, kerajaan negeri Selangor melarang penjawat awam dan para pelajar daripada menghadiri kursus BTN.[218] Sesetengah menteri dan Mahathir sendiri membela BTN sebagai perlu untuk memupuk nilai disiplin dan kejujuran pada kalangan peserta sambil menafikan sebarang kaitan dengan ketuanan Melayu.[219] Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz bertegas bahawa Jemaah Menteri bertindak benar dalam menuntut perubahan dalam BTN sambil menyelar Mahathir sebagai rasis dengan kenyataan berikut:

Mereka semua tahu apa segalanya tentang sukata pelajarannya jadi siapalah kami untuk menafikannya? Kamu hendak menipu? Buat orang tergelak sahaja. Maksud saya, terdapat mereka yang menghadiri kursus-kursus itu yang keluar dengan marah. Terdapat banyak kali penggunaan perkataan seperti "ketuanan Melayu". Mengarut betul...[218]

Rujukan

WikiPedia: Ketuanan_Melayu http://www.aliran.com/high9902.html http://www.aliran.com/monthly/2005b/7d.html http://atimes.com/atimes/Southeast_Asia/FJ02Ae05.h... http://www.bernama.com/bernama/state_news/bm/news.... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/printable.php... http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cac... http://www.jeffooi.com/2006/10/equity_share_is_rac... http://www.jeffooi.com/archives/2005/08/the_nst_sh... http://www.jeffooi.com/archives/2005/08/we_are_16_... http://www.jeffooi.com/archives/2005/11/i_went_int...